PROFIL SEKOLAH

       SEKOLAH KEBANGSAAN KECHOR TUI adalah sebuah sekolah yang terletak di dalam Kawasan Mukim Kechau dalam Daerah Lipis. Sekolah ini telah dibina pada tahun 1956 diatas sebuah bukit yang bernama Bukit Kubu. Bersempena dengan nama tempat tersebut, nama asal sekolah ini ialah Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Kubu. Sekolah ini mengandungi bangunan dan bilik darjah yang diperbuat daripada kayu dan papan. Fizikal sekolah tersebut hanya mampu untuk menampung 6 buah kelas sahaja.

       Selain bangunan bagi menampung kelas, sebuah rumah guru telah dibina berhampiran dengan kelas tersebut. Tiada bangunan disediakan untuk tandas dan kantin. Anak sungai yang berhampiran iaitu di kaki bukit tersebut, merupakan punca air utama dan juga merupakan tandas bagi penghuni di sini Manakala pondok kecil yang digunakan sebagai kantin telah dibina oleh pengusaha kantin pada masa itu. Keadaan jalan yang tidak bertar merupakan kesukaran pengangkutan utama bagi guru dan penjaga murid.

       Guru besar yang pertama ialah En. Muhamad Nor Bin Daud yang merupakan anak jati tempatan kampung ini. Beliau telah menyumbangkan khidmatnya selama 2 tahun di sekolah ini iaitu bermula dari tahun 1957 hinggalah 1958.

       Sesuai dengan kemajuan, pada tanggal 24 September 1991 sekolah ini telah berpindah ke lokasi baharu yang jaraknya lebih kurang 1 KM dari tapak bangunan sekolah lama. Bangunan baru ini mempunyai 2 blok bangunan dan sebuah bangunan kantin. Di samping itu juga, 4 buah rumah guru telah dibina secara gotong-royong bagi penempatan guru-guru dari luar untuk mengajar di sekolah ini.

       Sekolah ini terletak di tepi jalan raya yang menghubungkan dua bandar utama iaitu Bandar Lipis dan Bandar Gua Musang. Kedudukan sekolah ini sejauh 34 km dari Lipis dan 92 km dari Gua Musang. Sekolah ini menampung murid-murid dari beberapa kampung di sekitar Kampung Kechau Tui. Kampung-kampung itu ialah Kampung Darling, Kampung Padang Lebak, Kampung Bukit Kubu, Kampung Selinsing, Kampung Bukit Nenas, Kampung Budung, Kampung Kubang Harimau dan Kawasan Lombong (Kilang-kilang papan).

Di sediakan Oleh SKKT